SK Ramuan China Besar (SKRCB) didirikan pada tahun 1922 bertempat di suatu lokasi lain yakni kira-kira
500 meter dari tapak bangunan sekarang. Sekolah ini dibina atas tanah milik Puan Bayak binti Abdul Rahman. Bangunan sementara ini hanya mampu menampung sejumlah kira-kira 50 orang pelajar.
Allahyarham Datuk Penghulu Haji karim dianggap sebagai pengasas pembinaan SK Ramuan China Besar dengan dibantu oleh Allahyarham Tok Sidang Haji Tunggal bin Akir. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini dbuat secara gotong-royong bersama penduduk setempat.
Bentuk bangunan asal sekolah ini adalah bangunan setingkat yang berukuran kira-kira 20 kaki x 30 kaki. Bangunan ini berlantaikan tanah, berdinding dan beratapkan rumbia.
Allahyarham Cikgu Haji Saadom bin Abdullah merupakan guru besar pertama sekolah ini. Dikatakan murid awal sekolah ini terdiri daripada 50 orang murid lelaki yang purata umur mereka 11 tahun. Murid-murid ini akan belajar sehingga darjah tiga di sini dan menyambung pelajaran di SK Ramuan China Kechil. Kadar pertambahan murid di sekolah ini dianggarkan 15 orang setahun. Bangunan pertama ini digunakan sehingga tahun 1927.
Pada tahun 1928, bangunan asal SKRCB telah dirobohkan setelah mendapat bangunan baru di tapak sekolah yang ada sekarang. Tapak sekolah lama telah diserahkan kepada pemiliknya.
Awal pembukaan sekolah ini dikendalikan hanya 2 orang guru dari sekolah asal iaitu guru besar (mengajar darjah 3) dan guru penolong kanan (mengajar darjah 2&1). Majoriti murid hadir ke sekolah dengan berjalan
kaki manakala guru berbasikal. Mereka diajar dengan kemahiran asas membaca, ,menulis, mengira dalam rumi dan Jawi serta Ilmu Tanaman, Ilmu Alam (negeri Melaka) dan agama.
No comments:
Post a Comment